|
.:KATA-KATA
ALUAN PENGETUA CEMERLANG:.
Salam sejahtera saya hulurkan kepada para tetamu
laman web Sekolah Menengah Teknik Kuala Klawang.
Semoga laman web ini membuka ruang yang
seluas-luasnya untuk masyarakat menilai dan
mengetahui apa yang berlaku di dalam institusi
persekolahan kita.
Dalam usaha memenuhi Teras Strategik PIPP
(2006-2010) khasnya untuk membangunkan modal
insan yang terbilang, SMTKK telah berjaya
menzahirkan 3 dimensi dalam transformasi
kepimpinan iaitu dimensi kemajuan fizikal
sekolah, dimensi peningkatan keberkesanan dalam
bidang pengajaran dan pembelajaran dan dimensi
kegemilangan dalam bidang kokurikulum.
Pihak sekolah sentiasa berusaha untuk
menyediakan persekitaran pembelajaran yang
kondusif agar warga SMTKK dapat belajar dan
bekerja dengan selesa. Dalam dimensi kemajuan
pembangunan fizikal sekolah, penyediaan
prasarana sekolah yang canggih telah dimanfatkan
dengan semaksimumnya. Atas keprihatinan dan
kerjasama pihak KPM, JPT, JPN, PPD Jelebu/Jempol,
PIBG SMTKK, dan pelbagai pihak, maka
tersergamnya bangunan aktiviti kegiatan
pendidikan, bengkel yang selamat, makmal yang
canggih, blok asrama yang selesa, surau yang
tenang, dan dewan besar yang pelbagai guna.
SMTKK juga dilengkapi dengan kemudahan ICT yang
terkini agar akses warga sekolah kepada internet
adalah cepat dan tepat.
Seterusnya, melalui dimensi kedua, pasukan
pendidik telah menunjukkan komitmen yang tinggi
dalam proses peningkatan keberkesanan pengajaran
dan pembelajaran serta penilaian. Berbekalkan
program pembangunan staf yang terancang, maka
sesi pengajaran dan pembelajaran kelas
dijalankan secara berstruktur, hasil
pembelajaran dan penilaian yang berfokus, amalan
P&P yang fleksibel tetapi profesional, mengambil
berat kebajikan dan potensi pelajar dan
menggunakan pendekatan logikal dalam
menyelesaikan masalah. Tambahan pula, hampir 80
peratus guru-guru muda dan baru di SMTKK
mempunyai semangat dan keiltizaman yang membara
dalam mendidik anak bangsa-modal insan negara.
Manakala, dalam dimensi ketiga iaitu bidang
kegemilangan kokurikulum yang telah menjadi satu
kebanggaan SMTKK. Kejayaan demi kejayaan telah
dicapai sama ada di peringkat daerah, negeri,
kebangsaan atau antarabangsa. Antaranya, Johan
Pertandingan Drama peringkat daerah, Johan
Pertandingan Pelancaran Roket peringkat negeri
sehinggalah Johan Pertandingan Reka Cipta
peringkat kebangsaan. Bahkan, SMTKK telah
dipilih khas untuk menguji rintis Modul
Pendidikan Mikrograviti yang merupakan salah
satu komponen penting dalam Program Angkasawan
Negara kita.
Akhir kata dari saya, warga SMTKK perlu terus
bersama-sama bergabung tenaga dalam memastikan
kecemerlangan sekolah dan pencapaian murid terus
menyinar.
Sekian, terima
kasih
*Gambar
atas kiri-Anugerah Pengetua Cemerlang (DG52)
Yang disampaikan oleh Yg Bhg Dato'Haji Yusoff B
Harun, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran
Malaysia (Teknikal) pada 31 Disember 2007
|